PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan diadakan lebih awal sekiranya kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Menurut FMT, kemenangan kedua-dua gabungan itu boleh mencetuskan perkembangan politik baharu yang berpotensi meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Saya tidak akan terkejut sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum tamat tempoh,” katanya menerusi audio siar Kekal Tenang.
Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, jentera PN perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan PRU16 diadakan pada bila-bila masa.
“Siap sedia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan perkembangan politik yang dimaksudkan sekiranya BN dan PN berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka.
Pada PRN Melaka kali ini, BN dan PN menjalinkan kerjasama dengan BN bertanding di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN di lima kerusi.








