theme-sticky-logo-alt
November 11, 2026
41 Views

“Protes Terhadap Pengampunan Najib Boleh Dianggap Cabar Kuasa Agong,”-Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: UMNO berpandangan sebarang tindakan berunsur protes terhadap keputusan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, boleh ditafsirkan sebagai mencabar kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong. Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pengampunan bersyarat yang membawa kepada pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib merupakan sebahagian daripada kuasa dan hak prerogatif... Read More

KUALA LUMPUR: UMNO berpandangan sebarang tindakan berunsur protes terhadap keputusan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, boleh ditafsirkan sebagai mencabar kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pengampunan bersyarat yang membawa kepada pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib merupakan sebahagian daripada kuasa dan hak prerogatif Seri Paduka Baginda yang perlu dihormati.

Menurutnya, keputusan pengampunan yang diberikan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan mencerminkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan sewajarnya dihormati semua pihak.

“UMNO berpendirian sebarang perbuatan yang memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang dititahkan sebagai alasan sesuatu tindakan diambil, ia boleh membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Tuanku,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas ketegasan titah berhubung pengampunan bersyarat berkenaan.

Katanya, UMNO akan terus mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong serta institusi Raja-Raja Melayu.

“UMNO akan tetap teguh mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Tuanku serta Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau turut menegaskan Malaysia merupakan sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang dan semua proses perundangan perlu dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan serta menghormati kedudukan institusi diraja.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1