PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan hasratnya untuk dikenali sebagai ahli politik yang berpegang pada prinsip serta mengotakan setiap janji, biarpun terpaksa membuat keputusan sukar.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, peletakan jawatannya yang berkuat kuasa semalam membuktikan beliau konsisten dengan pendirian yang telah dinyatakan secara terbuka hampir dua bulan lalu.
Menurut Malaysia Gazette, beliau menyedari tahap kepercayaan masyarakat terhadap ahli politik semakin merosot berikutan sikap segelintir pemimpin yang sering mengeluarkan kenyataan dan janji, namun gagal menterjemahkannya kepada tindakan.
Loke mengakui tahap kepercayaan masyarakat terhadap ahli politik masih rendah, malah profesion berkenaan sering disenaraikan antara yang paling kurang dipercayai berdasarkan pelbagai tinjauan.
Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada sikap segelintir ahli politik yang sering mengeluarkan kenyataan dan janji, namun gagal menterjemahkannya kepada tindakan.
“Saya nak dipilih sebagai seorang ahli politik yang cakap serupa bikin. Maksudnya, apa yang saya katakan itu akan saya buat, akan saya laksanakan dan bukan kata-kata omong kosong,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan dan Majlis Kasih Madani 2026 di sini, hari ini.








