KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai asas perundangan yang kukuh untuk mendapatkan penjelasan Mahkamah Tinggi berhubung perintah pelepasan Datuk Seri Najib Razak susulan pembayaran denda RM50 juta dalam kes SRC International.
Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, berkata perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu berpotensi menimbulkan percanggahan dengan Perintah Pengampunan Bersyarat Yang di-Pertuan Agong bertarikh 18 September 2026.
Menurutnya, penggunaan istilah ‘pelepasan’ dalam perintah mahkamah berkenaan boleh ditafsirkan sebagai pembebasan sepenuhnya dan serta-merta selepas denda dijelaskan.
Bagaimanapun, beliau berkata tafsiran itu bercanggah dengan pengampunan bersyarat yang menetapkan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
“Pendirian diambil Jabatan Peguam Negara terhadap perintah pelepasan dikeluarkan Mahkamah Tinggi mempunyai merit, sama sekali tidak mempersoalkan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan, istilah berkenaan juga mempunyai implikasi perundangan berdasarkan peruntukan Akta Penjara 1995.
Menurutnya, perkara itu menjadi lebih rumit memandangkan Najib turut berdepan hukuman penjara berasingan bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang perlu dilaksanakan selepas hukuman kes SRC selesai.
Sehubungan itu, Ramkarpal berpandangan AGC wajar segera memohon penjelasan atau semakan semula perintah pelepasan tersebut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam pelaksanaan hukuman.
Beliau menegaskan, langkah itu bukan bertujuan mencabar kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya memastikan perintah mahkamah dan pengampunan bersyarat dilaksanakan mengikut undang-undang.
Terdahulu, AGC memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sementara sehingga persoalan perundangan berhubung perintah pelepasan dan pengampunan bersyarat itu diperjelaskan.








