PETALING JAYA: Datuk Mahfuz Omar menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘api dalam sekam’ serta ‘musuh dalam selimut’ Kerajaan MADANI susulan tindakan parti itu yang didakwanya menjalinkan kerjasama politik dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, tindakan UMNO-BN bekerjasama dengan pihak pembangkang dalam pilihan raya negeri, sedangkan masih memegang jawatan dalam kerajaan Persekutuan, menimbulkan persoalan mengenai kejujuran dan komitmen parti berkenaan terhadap kerjasama politik sedia ada.
“Persoalannya, sampai bila UMNO-BN mahu bermain politik dua kolam? Di Putrajaya menjadi rakan kerajaan, tetapi di negeri bekerjasama dengan pihak yang mahu merobohkan Kerajaan MADANI,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mahfuz turut mempersoalkan tindakan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang didakwanya secara terbuka mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan merupakan hak demokrasi, namun pemimpin kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kestabilan dan kepercayaan dalam pentadbiran.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa UMNO-BN membuat pendirian jelas mengenai hala tuju kerjasama politiknya dan tidak terus berada dalam kerajaan sekiranya lebih selesa bersama PAS serta PN.
“Jangan bebankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memecat mereka. Jika UMNO-BN yang memilih jalan berbeza, UMNO-BN sendirilah yang perlu berani mengambil tanggungjawab dan berundur dengan bermaruah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar UMNO-BN tidak terus menikmati kuasa di Putrajaya sambil didakwanya mengatur kerjasama politik dengan pihak yang mahu menumbangkan kerajaan.
“Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar,” tegasnya.







