PUTRAJAYA: Premis penyembelihan ayam yang menjadi perhatian susulan penularan video mencetuskan keraguan terhadap pematuhan hukum syarak didapati tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan telah diarahkan tutup sejak 10 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan pelanggaran aspek kesihatan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2026.
Menurutnya, hasil risikan dan pemeriksaan awal turut mendapati premis berkenaan didaftarkan atas nama entiti lain, bukannya milik Bhuiyen Sdn Bhd seperti yang dikaitkan dalam isu tular tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan bekalan ayam hidup yang digunakan bagi aktiviti penyembelihan di premis terbabit diperoleh daripada syarikat berkenaan.
“Semakan turut mendapati premis dan produk ayam yang disembelih oleh syarikat berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sirajuddin berkata, pemeriksaan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Katanya, JAKIM juga telah memohon pengesahan daripada DBKL berhubung status lesen premis dan identiti entiti yang menjalankan aktiviti pemprosesan ayam itu bagi melengkapkan siasatan serta tindakan susulan.
Beliau menegaskan, JAKIM memandang serius sebarang aktiviti penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak dan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran yang dikenal pasti.
“Pematuhan terhadap hukum syarak dalam proses penyembelihan merupakan perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang pelanggaran yang dikenal pasti akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan,” katanya.








