KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dipaksa menandatangani dokumen bagi menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan itu dirujuk kepada AGC pada 29 September lalu untuk penelitian dan arahan lanjut.
Menurut Malaysia Kini, polis kini menunggu keputusan AGC sebelum menentukan tindakan susulan berhubung dakwaan berkenaan.
“Sebarang tindakan dan siasatan lanjut pihak polis adalah tertakluk kepada hasil penelitian dan arahan daripada pihak AGC.
“PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mengenai perkembangan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Ismail pada 8 September lalu.
Saifuddin memaklumkan, setakat ini polis telah merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
Terdahulu, Ismail mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan usaha menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tanpa kerelaan dan dalam keadaan terpaksa.
Dakwaan itu dibuat susulan pertikaian melibatkan institusi Undang Yang Empat dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan paksaan tersebut masih tertakluk kepada penelitian dan arahan AGC.








