KANGAR: Kerjasama Pas dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir direalisasikan apabila rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu kini mencapai 90 peratus.
Menurut UTUSAN, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan berkenaan akan dibawa kepada kepemimpinan parti masing-masing untuk mendapatkan pengesahan akhir sebelum dimuktamadkan.
Malah, beliau berkata Pas bersedia menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka sekiranya langkah itu dapat membantu memuktamadkan kerjasama berkenaan.
Menurutnya, UMNO akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN lalu, manakala rundingan antara kedua-dua parti itu tertumpu kepada enam hingga 10 kerusi yang belum dimenangi UMNO.
“Jawatankuasa rundingan antara Pas dan UMNO nampak cukup baik ke arah mewujudkan persefahaman tersebut. Kita sudah menjalankan rundingan dan hampir 90 peratuslah sudah selesai.
“Selepas ini, ia akan dibawa ke peringkat parti masing-masing untuk pengesahan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Kompleks Pas, di sini, semalam.
Tuan Ibrahim berkata, UMNO mempunyai hak untuk berunding dengan mana-mana parti lain, namun rundingan yang sedang berlangsung antara Pas dan UMNO tidak bertindih dengan perbincangan bersama pihak lain.
Sebelum ini, UMNO dan BN menyatakan kesediaan mempertahankan kesemua 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi gabungan itu pada PRN Melaka lalu.








