KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mendakwa beberapa isu berkaitan undang-undang di negara ini sengaja dibangkitkan dan dijadikan alat politik sehingga mencetuskan persepsi tertentu terhadap UMNO.
Menurut Malaysia Gazette,terdapat perkara yang sepatutnya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, namun didakwanya tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya oleh pemerintah.
“Apa sahaja yang berlaku dalam negara ini, bagi pandangan saya dah macam negara koboi. Ada perkara yang sepatutnya kita buat, tindakan mengikut lunas undang-undang, tetapi ini tidak dilaksanakan oleh pemerintah.
“Dan sengaja sahaja untuk membangkitkan isu-isu itu untuk dijadikan alat politik,” katanya.
Beliau turut membangkitkan tindakan Majlis Peguam yang mempertikaikan beberapa keputusan, termasuk berkaitan isu pengampunan serta kuasa Peguam Negara dalam kes membabitkan 47 pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi..
Katanya, beberapa perkara juga didakwa sengaja dilengahkan sehingga akhirnya mencetuskan naratif yang meletakkan kesalahan kepada UMNO.
“Akhirnya yang salahnya datang kepada UMNO. Padahal perkara itu telah termaktub dan telah boleh dilakukan sepertimana yang sebelum-sebelum ini dilakukan,” katanya.








