KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi antara calon yang dipertimbangkan untuk meneruskan kepimpinan sebagai Perdana Menteri bagi satu lagi penggal.
Menurutnya, walaupun Anwar mempunyai kelemahan dan bukan seorang pemimpin yang sempurna, beliau melihat tiada calon lain yang setanding dengan Perdana Menteri ketika ini berdasarkan beberapa aspek, termasuk pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Dia bukan sempurna. Bukan hendak katakan dia godsend (kiriman Tuhan) ataupun sempurna. Banyak kelemahan dia, banyak juga kelebihan dia.
“Setakat ini kalau kita tengok di antara dia dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahupun Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atau Datuk Seri Mohamad Hasan, memang kita rasa yakin bahawa dia (Anwar) jauh lebih baik,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.
Khalid berkata, aspek pengiktirafan antarabangsa juga penting dalam menentukan kepimpinan negara, khususnya bagi memastikan Malaysia terus mendapat sokongan masyarakat antarabangsa.
Katanya, Malaysia tidak boleh bergantung semata-mata kepada sumber dan kekuatan dalam negara, sebaliknya memerlukan hubungan serta sokongan masyarakat antarabangsa termasuk dalam aspek perdagangan dan pelaburan.
“Setakat yang saya nampak begitulah, tidak ada calon-calon lain yang setanding (Anwar). Kita tengok daripada segi international recognition, di peringkat antarabangsa, penghormatan yang diberi, disanjung dan itu sangat penting.
“Kita tidak boleh hidup hanya dengan sumber dan kekuatan dalam negara semata-mata. Kita perlu sokongan daripada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Melayu tidak seharusnya berasa takut terhadap DAP, sambil menegaskan keperluan memilih pemimpin berdasarkan nilai politik yang positif dan membina.
“Hanya Melayu kena berubah dan memilih pemimpin-pemimpin yang mempunyai nilai-nilai politik yang positif dan yang membina,” katanya.
Khalid turut mengaitkan soal keyakinan masyarakat antarabangsa dengan imej kepimpinan dan politik negara.
“Perlunya satu individu yang mendapat sokongan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa, di situ Anwar jauh ke depan,” katanya.








