YONG PENG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak sekiranya terbukti berlaku kecuaian berhubung insiden kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, satu semakan dalaman secara menyeluruh telah diarahkan serta-merta bagi meneliti aspek keselamatan premis, rekod kehadiran sesi kelas bimbingan serta tahap kawalan pengawal keselamatan yang bertugas.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
“Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah. Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut.
“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat di Yong Peng dan menziarahi waris mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), pagi ini.-AWANI








