KUALA LUMPUR: Pemimpin Urimai, P Ramasamy berpandangan Anthony Loke dijangka terus kekal dalam Kabinet untuk tempoh agak lama, termasuk kemungkinan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Malah, katanya, tidak menghairankan sekiranya Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP kekal sebagai Menteri Pengangkutan sehingga PRU-16 diumumkan.
Sehubungan itu, Ramasamy mempersoalkan tujuan sebenar ‘drama’ peletakan jawatan Anthony Loke sebelum ini sekiranya beliau benar-benar akan terus kekal dalam Kabinet sehingga Parlimen dibubarkan.
Menurut Malaysia Gazette, keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sepatutnya menggambarkan keseriusan parti itu terhadap implikasi moral dan etika susulan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan selepas itu memberikan gambaran yang agak berbeza.
“DAP tidak seharusnya memperdayakan rakyat Malaysia dengan menggunakan sandiwara politik untuk memberikan gambaran bahawa parti itu bersedia mengambil pendirian berprinsip berhubung isu moral dan etika serius yang sedang dihadapi negara.
“Jika DAP benar-benar bersedia mengambil pendirian terhadap pengampunan Najib, mengapa parti itu tidak menggunakan peluang tersebut untuk mempertimbangkan semula penyertaannya dalam kerajaan?
“Sebaliknya, parti itu terus kekal dalam kerajaan manakala Loke nampaknya ditugaskan untuk memikul beban ketidakpuasan hati parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.








