PONTIAN: Barisan Nasional (BN) yakin mampu memenangi lebih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdasarkan prestasi kerajaan negeri serta penerimaan rakyat terhadap program yang dilaksanakan.
Menurut Sinar Harian, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu turut mengambil kira kemungkinan kerjasama dengan Pas yang kini masih dalam peringkat rundingan dan perbincangan.
Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO berkata, beliau sudah beberapa kali turun padang ke Melaka, termasuk mengadakan perbincangan bersama War Room Melaka bagi menilai perkembangan politik dan sentimen semasa rakyat di negeri itu.
“Kita ada keyakinan untuk menang 21 atau lebih kerusi berdasarkan prestasi kerajaan negeri Melaka yang cukup baik di mata rakyat.
“Program Exco bersama rakyat, program Melaka Sayang Rakyat dan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat, semuanya dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan baik.
“Mereka juga buat hari terbuka di 28 kawasan DUN, dengan Exco turun, pegawai kerajaan turun untuk menyelesaikan masalah rakyat. Beribu masalah rakyat dapat diselesaikan,” katanya.








