KUALA LUMPUR: Kerajaan akur dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, perkara itu tidak menghalang beliau daripada memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang serta kepentingan negara.
Menurut beliau, pendirian kerajaan jelas bahawa negara tidak boleh bertolak ansur terhadap amalan rasuah atau perbuatan mengambil kekayaan negara untuk kepentingan peribadi.
“Bila kita bincang soal kontroversi berhubung kes Najib, saya akur dengan semangat Perlembagaan (Perlembagaan Persekutuan), tetapi ia tidak menghalang, umpamanya seorang Perdana Menteri memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang.
“Apa nak kita sampaikan? Negara ini tidak boleh tolak ansur dengan rasuah dan amalan ‘sakau’ wang negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan di Bangi, semalam.








