SEREMBAN: DAP menafikan penglibatan dalam sebarang usaha yang mencetuskan krisis politik di Negeri Sembilan, sebaliknya menegaskan komitmen parti itu untuk terus memberikan khidmat kepada rakyat.
Menurut AWANI, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu ketika ini tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak seharusnya terus dikaitkan dengan kemelut yang berlaku.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa DAP menjadi punca krisis berkenaan, termasuk ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Menurutnya, wakil rakyat DAP perlu kekal fokus menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa terheret dalam pergolakan politik yang berlarutan.
“Seperti yang saya katakan, kita fokus kepada kerja kita. Paling penting, saya pesan kepada wakil rakyat yang dipilih, kekal fokus kepada tugas. Pergolakan di Negeri Sembilan ini macam tidak ada kesudahan.
“Sudah tentu perkara ini isu yang rumit kerana melibatkan pelbagai aspek, ini di luar tugas kita. Apa yang berlaku hari ini bukan disebabkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan kali ke-24, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi DAP negeri, J. Arul Kumar.








