SHAH ALAM: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook masih belum menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, beliau masih menunggu surat berkenaan sebelum kedudukan Setiausaha Agung DAP itu dapat ditentukan.
“Tunggu surat,” katanya ringkas ketika ditemui pada Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.
Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan Anwar tidak menolak kemungkinan rombakan Kabinet akan diadakan susulan hasrat Anthony untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika itu berkata beliau sudah dimaklumkan sendiri oleh Anthony mengenai perkara berkenaan.
Beliau berkata, kedudukan Anthony serta keputusan berhubung rombakan Kabinet akan ditentukan selepas mengadakan pertemuan dengannya dalam masa terdekat.








