KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis Cawangan Khas yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, tampil membuat laporan polis baharu bagi mengemukakan bukti tambahan berhubung kejadian berkenaan.
Menurut Berita Harian Peguam yang mewakili anggota terbabit, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin, dalam kenyataan bersama memaklumkan anak guam mereka, Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, membuat laporan itu di Balai Polis Sungai Besi pada 10 Oktober lalu.
Menurut kenyataan berkenaan, Mohammad Faiz mendakwa kejadian berlaku ketika beliau sedang merakam gambar satu insiden di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan telefon bimbitnya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa telefon bimbitnya dirampas sebelum ditahan secara salah, selain turut dikasari, dipukul dan diugut.
Firma guaman yang mewakilinya dalam kenyataan hari ini memaklumkan, fakta kes berkenaan menjurus kepada kemungkinan berlakunya beberapa kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
Ia merangkumi Seksyen 186, 323, 353, 355 dan 506 yang masing-masing berkaitan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, sengaja mendatangkan kecederaan, menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menjatuhkan maruah serta ugutan jenayah.
Dalam pada itu, kenyataan sama turut mendakwa Mohammad Faiz dan seorang lagi anggota polis, Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman, yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Perjalanan (TCO), telah dikasari Mohd Shuhaily di kawasan awam.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih memerlukan siasatan lanjut pihak berkuasa bagi menentukan sama ada sebarang kesalahan telah berlaku.








