KUALA LUMPUR-Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai beberapa pilihan dalam menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk mencapai persefahaman politik berkaitan pembahagian kerusi atau bertanding secara berasingan.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendekatan itu bergantung kepada keadaan politik dan kesesuaian di setiap negeri.
“Saya nampak satu pilihan ialah ada persefahaman politik yang terhad atau bersyarat, contohnya mengenai kerusi masing-masing,” katanya ketika menjadi tetamu program audio siar The Tiger Show Podcast yang disiarkan Astro AWANI.
Beliau berkata pengalaman di Sabah menunjukkan sebahagian besar kerusi antara parti boleh dielakkan daripada bertindih, walaupun kemungkinan pertembungan masih boleh berlaku di beberapa kawasan.
“Itu satu pilihan. Kedua ialah bertanding sendiri,” katanya.
Fahmi berkata corak kerjasama yang dibentuk bagi menghadapi sesuatu Pilihan Raya Negeri tidak semestinya menggambarkan pendekatan yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ditanya sama ada PH dan BN masih boleh bekerjasama selepas PRU16 sekiranya kedua-duanya bertembung dalam pilihan raya berkenaan, beliau berkata perkara itu “Tak mustahil.”








