KUALA LUMPUR: Ahli keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada pihak berkuasa berhubung pelaksanaan hukuman tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu, termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan.
Anak keempat Najib, Nooryana Najwa berkata, pihak keluarga serta barisan peguam juga belum menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Penjara mengenai persediaan yang perlu dibuat, termasuk soal pengubahsuaian kediaman bagi membolehkan tahanan rumah dilaksanakan.
“Selain daripada itu, sebarang prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak penjara kami belum terima.
“Senang cerita, kami pun tidak dapat apa-apa maklumat secara rasmi. Peguam kita juga belum dapat apa-apa maklumat secara rasmi. Jadi kita masih menunggu maklumat daripada pihak penjara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Nooryana, keluarga ketika ini masih menunggu penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa sebelum dapat membuat sebarang persediaan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
“Kami betul-betul tidak tahu. Sebagai ahli keluarga, kami belum dapat apa-apa perkhabaran atau sebarang maklumat daripada pegawai penjara,” katanya.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata SOP tahanan rumah Najib akan diperincikan oleh Jabatan Penjara, manakala lokasi sebenar pelaksanaan hukuman itu belum dapat disahkan selagi syarat berkaitan belum diselesaikan.








