KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan pihak yang didakwa menawarkan pelawaan kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kembali menyertai parti itu.
Menurut Malaysia Gazette,Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang pelawaan kepada Mohamed Azmin untuk kembali ke PKR.
“Ada orang jemput ke? Ada pelawaan. Saya tak dimaklumkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang menegaskan tidak akan kembali menyertai PKR meskipun terdapat dakwaan mengenai pelawaan terhadap bekas anggota parti itu.
Pada Selasa lalu, Mohamed Azmin yang kini Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau tidak akan sesekali kembali menyertai parti lamanya dan yakin BERSATU mampu menjadi wadah perjuangannya untuk meneruskan kelangsungan politik.








