KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Belanjawan 2027 mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan pilihan raya diadakan pada tahun depan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peningkatan peruntukan itu antara perkara yang menarik perhatiannya ketika meneliti belanjawan berkenaan.
Menurut UTUSAN, Belanjawan 2027 turut dilihat sarat dengan pengumuman berbentuk ‘gula-gula’ kepada rakyat, susulan peningkatan perbelanjaan mengurus kerajaan sebanyak 11.41 peratus berbanding tahun ini.
Beliau mendakwa, perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya pada tahun depan atau sejurus selepas belanjawan berkenaan diluluskan.
“Jadi kita fahamlah, sebab itu saya rasa bahawa belanjawan atau bajet pada tahun ini hanyalah diberikan banyak manis-manis yang telah diumumkan.
“Kita fahamlah tu, tahun depan pilihan raya mungkin. Tuan Yang Dipertua, atau selepas bajet ini, itu pun kalau diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Hamzah turut mengaitkan peningkatan perbelanjaan mengurus kerajaan dengan pelbagai pengumuman dalam belanjawan berkenaan yang didakwanya bersifat menarik sokongan rakyat.
Bagaimanapun, kemungkinan pilihan raya diadakan seperti dibangkitkan Hamzah itu merupakan spekulasi beliau berdasarkan peningkatan peruntukan SPR dan perbelanjaan kerajaan dalam Belanjawan 2027.








