theme-sticky-logo-alt
October 12, 2026
15 Views

Tuanku Muhriz Dijemput Hadir Ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilaporkan menerima jemputan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung bermula Selasa hingga Khamis ini. Menurut laporan The Straits Times Singapura, jemputan berkenaan dilihat sebagai perkembangan penting yang memperkukuh kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah sah Negeri Sembilan, ketika krisis institusi diraja negeri itu berlarutan... Read More

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilaporkan menerima jemputan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung bermula Selasa hingga Khamis ini.

Menurut laporan The Straits Times Singapura, jemputan berkenaan dilihat sebagai perkembangan penting yang memperkukuh kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah sah Negeri Sembilan, ketika krisis institusi diraja negeri itu berlarutan sejak enam bulan lalu.

Laporan itu menyebut, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dijadual mempengerusikan mesyuarat berkenaan pada 13 hingga 15 Oktober, telah menjemput Tuanku Muhriz untuk hadir.

Bagaimanapun, Tuanku Muhriz dilaporkan hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja pada Selasa, yang tidak disertai Yang di-Pertuan Agong bagi menjaga kepentingan negeri masing-masing.

Dalam perkembangan sama, sepupu baginda, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar yang sebelum ini diisytiharkan sebagai pemerintah baharu oleh sekumpulan Undang yang kedudukan mereka dipertikaikan, dilaporkan beberapa kali berusaha mendapatkan jemputan ke mesyuarat berkenaan.

Usaha itu dikatakan turut dilakukan menerusi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Sementara itu, Tuanku Muhriz dijadual menyempurnakan pelantikan Undang Luak Jelebu yang baharu pada Rabu ini.

Menurut sumber yang dipetik laporan berkenaan, pelantikan itu dijangka memberikan baginda kedudukan majoriti yang jelas dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.

Terdahulu, Negeri Sembilan berdepan kemelut institusi diraja sejak April lalu apabila empat individu yang mendakwa memegang jawatan Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz.

Kumpulan sama kemudiannya didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu pada Jun lalu, menerusi satu majlis di sebuah hotel lima bintang di Melaka.

Krisis itu dilaporkan semakin meruncing pada September apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pimpinan Ismail mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara dan DKU dilaporkan menegaskan bahawa pengisytiharan penyingkiran berkenaan tidak mempunyai kesan undang-undang, sekali gus mengekalkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1

Discover more from New Malaysian Post

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading