PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan etnik Rohingya termasuk dalam kalangan 5,000 pelarian di negara ini yang akan dihantar pulang ke Myanmar.
Menurut Berita Harian,Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Rohingya merupakan sebahagian daripada 19 etnik dari Myanmar yang berada di Malaysia.
“Saya sebut pelarian Myanmar yang ada 19 etnik dan Rohingya sebahagian daripadanya.
“Semua (etnik) ada di negara ini dan Rohingya termasuk dalam 19 etnik berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Saifuddin enggan mendedahkan had masa yang ditetapkan bagi pelaksanaan proses penghantaran pulang tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.








