PUTRAJAYA: Kerajaan terbuka untuk menambah baik sistem percukaian negara dengan mengambil ciri tertentu daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mewujudkan sistem yang lebih progresif dan efisien.
Menurut AWANI,Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan SST akan kekal sebagai asas utama sistem percukaian negara.
Beliau juga berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat tidak dikenakan cukai secara menyeluruh.
“Pangkalnya masih SST, tetapi kalau ada beberapa ciri yang boleh kita terima, kita terima.
“Tetapi saya tidak mahu tolak ansur satu hal. Saya tidak mahu cukai ke atas rakyat secara menyeluruh,” katanya.
“Seperti mana pandangan dalam GST. GST itu ‘broad-based tax’, kita cukai semua rakyat, saya tak setuju,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.








