KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa mengambil peluang susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemansuhan undang-undang era penjajahan dengan menghapuskan Akta Hasutan 1948 sepenuhnya.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, kenyataan Anwar pada Program Merdeka Sahabat Madani 2026 di UiTM Permatang Pauh semalam bahawa undang-undang era penjajahan wajar dimansuhkan bagi memberikan erti sebenar kepada kemerdekaan merupakan cadangan yang wajar diberi perhatian dan pertimbangan serius.
Beliau berkata, antara undang-undang yang dimaksudkan tentunya termasuk Akta Hasutan 1948 yang masih berkuat kuasa sehingga kini.
Menurutnya, akta berkenaan telah menerima kritikan ketara kerana dianggap sebagai peninggalan undang-undang zaman penjajahan yang memberi kesan negatif terhadap kebebasan bersuara yang sah dan pernah digunakan sebagai alat untuk pendakwaan bermotifkan politik.
“Saya sejak dahulu lagi berpendirian bahawa Akta Hasutan merupakan undang-undang yang lapuk, ketinggalan zaman dan bersifat zalim, iaitu warisan British yang wajar dimansuhkan,”
“Justeru, seseorang mungkin benar-benar percaya bahawa terdapat asas bagi kata-kata yang diucapkannya, namun sekiranya kata-kata tersebut mempunyai kecenderungan menghasut seperti yang ditakrifkan di bawah Akta berkenaan, kepercayaannya itu tidak lagi menjadi pertimbangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.








