PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kemungkinan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Berita Harian Online,Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu berkemungkinan dibincangkan selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh pulang ke tanah air esok.
Beliau dan Abd Rauf mempunyai hubungan baik serta sering berhubung mengenai pelbagai perkara.
“Abd Rauf ini sahabat lama saya dan kami selalu berhubung dan beliau kini dalam lawatan rasmi ke New Zealand. Tarikh beliau pulang ke tanah air termasuk delegasi yang ikut serta pun saya tahu.
“Kami sentiasa berhubung dan berbincang pelbagai perkara, selain akan singgah makan asam pedas Mak Leha di rumah beliau setiap kali saya ke Melaka,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerjasama bagi PRN Melaka, Saifuddin berkata perkara itu mungkin turut menjadi antara topik perbincangan apabila Abd Rauf kembali.
“Oleh kerana PRN Melaka sudah hampir, kemungkinan kita akan bincang juga tajuk berkenaan. Kemungkinanlah, okey,” katanya pada sidang media Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, hari ini.








