KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dijangka terus mengekalkan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 11 Julai ini, manakala DAP berpotensi muncul sebagai parti terbesar dalam blok pembangkang.
Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, berdasarkan pemerhatian semasa, BN berpeluang memenangi antara 40 hingga 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, dua lagi komponen Pakatan Harapan (PH), iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pula dijangka hanya memperoleh satu hingga dua kerusi.
Menurut Ibrahim, sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO di Johor juga dilihat meningkat berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Menurut beberapa perkiraan, kami berpendapat kedudukan UMNO di Johor bertambah baik berbanding PRU ke-15 apabila kami menganggarkan mereka memperoleh sekitar 45 peratus undi Melayu ketika itu.
“Di peringkat negeri, saya fikir angka itu kini meningkat kepada sekitar 55 hingga 60 peratus.
“Kami menjangkakan BN akan menang, namun persoalan besar ialah pada margin kemenangan, sama ada mereka akan memperoleh kurang daripada 40 kerusi atau melebihi angka itu,” katanya dalam webinar anjuran S. Rajaratnam School of International Studies hari ini.- Malaysia Kini








