IPOH: Seorang kakitangan MCA Perak yang didakwa memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak secara terbalik hingga tular di media sosial mengambil keputusan meletakkan jawatan serta-merta.
Menurut UTUSAN,Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan pemasangan kedua-dua bendera berkenaan.
“Kami memohon ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kejadian berkenaan. MCA Perak mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius insiden ini,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mah, kesilapan berkenaan berlaku tanpa disengajakan dan telah diperbetulkan dengan segera selepas disedari.
“Kesilapan yang tidak disengajakan itu telah diperbetulkan segera manakala pihak yang terlibat melakukan kesilapan tersebut secara sukarela menawarkan diri untuk meletakkan jawatan serta-merta,” katanya.
Beliau berkata, kejadian berlaku pagi tadi ketika seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Negeri Perak ditugaskan memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.








