MARANG: Hubungan PAS dan BERSATU dilihat semakin sukar dipulihkan apabila PAS berpendirian ruang untuk berdamai antara kedua-dua parti itu sudah tertutup susulan tindakan BERSATU bertanding menentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.
Menurut Berita Harian,Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian itu turut mengambil kira kenyataan pemimpin BERSATU mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka.
“Ya lah, pada dasarnya dia (BERSATU) lawan kita pada PRN Negeri Sembilan. Dan ada kenyataan nak ikut bersama dengan PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu menjawab soalan sama ada masih terdapat ruang untuk PAS dan BERSATU berdamai selepas hubungan politik antara kedua-dua parti berdepan ketegangan.
Sebelum ini, pada 8 Jun lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS memutuskan untuk mengakhiri hubungan kerjasama politik dengan BERSATU selepas meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama antara kedua-dua parti berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa.








