SEBERANG JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata surat yang dihantar Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berhubung dakwaan berkaitan isu pengambilan pekerja asing akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk penelitian lanjut.
Menurut Berita HarianAnwar berkata, perkara berkenaan bukan berada dalam bidang kuasanya dan pihak berkaitan perlu diberikan ruang untuk menjalankan penelitian mengikut peranan serta tanggungjawab masing-masing.
“Daripada sampai ke situ, bukan urusan saya. Saya akan rujuk kepada SPRM atau Jabatan Peguam Negara untuk mereka teliti,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Sembilang, di sini, pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan proses siasatan dan pendakwaan perlu diberikan ruang untuk berjalan tanpa mana-mana pihak membuat kesimpulan terlebih dahulu sebelum sesuatu perkara diputuskan oleh mahkamah.
Sebelum ini, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah mengutus surat kepada Anwar bagi menafikan penglibatannya dalam urusan pengambilan pekerja asing ketika beliau memegang jawatan Menteri Sumber Manusia.








