KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan langkah kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi pada ketika ini sebagai tepat dan melegakan rakyat yang sekian lama menanggung kesan kenaikan kos pengangkutan serta harga barang.
Dalam hantaran di Facebook, Fadhli berkata apa sahaja usaha yang dapat mengurangkan beban rakyat wajar disokong tanpa mengira pihak yang melaksanakannya.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa langkah sedemikian tidak dilaksanakan lebih awal ketika kerajaan menaikkan harga diesel di Semenanjung pada Jun 2024.
“Pada Jun 2024, kerajaan menaikkan harga diesel di Semenanjung daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter dengan alasan rasionalisasi subsidi dan keperluan mengekang ketirisan.
“Ketika itu, harga minyak mentah Brent berada pada purata sekitar AS$82 setong. Hari ini, harga Brent juga berada sekitar AS$80 hingga AS$82 setong, tetapi kerajaan mampu pula menurunkan harga diesel bersubsidi.
“Jika harga minyak dunia berada pada lingkungan yang hampir sama, apakah sebenarnya faktor yang berubah?” katanya.
Fadhli berkata, pada 10 Jun 2024 beliau pernah menyifatkan kenaikan diesel itu sebagai satu tindakan “maha terkutuk” kerana kesannya dirasai secara langsung oleh rakyat, peniaga kecil, petani, nelayan dan sektor pengangkutan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa mekanisme pengesahan menggunakan kad pengenalan seperti yang dilaksanakan hari ini tidak diperkenalkan sejak awal sekiranya alasan utama kerajaan ketika itu adalah untuk mengelakkan kebocoran dan penyalahgunaan subsidi.
“Adakah kerajaan ketika itu tidak mempunyai pilihan lain, atau kerajaan baru sekarang terfikir bahawa terdapat kaedah yang lebih baik untuk menyasarkan subsidi tanpa menghukum majoriti rakyat terlebih dahulu?” soalnya.
Menurut Fadhli, ketika pembangkang membangkitkan perkara itu pada 2024, mereka dituduh tidak memahami ekonomi dan keperluan subsidi bersasar.
Namun katanya, perkembangan terbaru menunjukkan terdapat pilihan dasar lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan.
“Oleh itu, rakyat berhak bertanya sama ada Malaysia sedang ditadbir oleh sebuah kerajaan yang mempunyai dasar yang konsisten dan berpandangan jauh, atau sebuah kerajaan yang sering mengubah pendekatan mengikut keadaan semasa,” katanya.
Fadhli mendakwa, jika pada paras harga minyak dunia yang hampir sama kerajaan boleh membuat keputusan berbeza, maka perbezaannya hanyalah dari segi waktu.
“Dulu masih jauh dengan pilihan raya, sekarang pilihan raya sudah hampir, itu sahaja,” katanya.








