LIPIS – Sultan Pahang mengingatkan golongan bukan warganegara yang menumpang di negara ini agar tidak melampaui batas sehingga mahu menentukan hala tuju negara serta mempersoalkan hak rakyat tempatan.
“Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Lipis pada 17 Jun 2026.
Dalam titahnya, baginda mahu pihak berkuasa menangani isu membabitkan bukan warganegara dengan tegas, bijaksana dan berhemah berdasarkan undang-undang.
Menurut baginda, kedaulatan negara perlu dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat dipertahankan dan hak warganegara dijunjung tanpa pengecualian.
Baginda bertitah bahawa Islam mengajar umatnya supaya berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan.
Namun, baginda menegaskan bahawa sifat rahmah yang dianjurkan Islam tidak bermakna kedaulatan negara boleh diabaikan atau belas ihsan dibiarkan melangkaui batas undang-undang.
“Sesungguhnya, belas ihsan itu lambang kemuliaan sebuah bangsa, tetapi kedaulatan negeri dan negara adalah amanah yang tidak boleh digadai,” titah baginda.








