DALLAS – England memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Croatia dalam aksi Kumpulan L yang berlangsung di Stadium Dallas, Amerika Syarikat.
Kapten England, Harry Kane muncul watak utama kemenangan pasukan kendalian Thomas Tuchel apabila meledak dua gol, manakala Jude Bellingham dan Marcus Rashford masing-masing menyumbang satu jaringan.
England membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi sepakan penalti Kane. Sepakan pertamanya berjaya diselamatkan penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic, tetapi pengadil mengarahkan penalti itu diambil semula selepas semakan mendapati berlaku pelanggaran ketika sepakan dilakukan.
Kane tidak mensia-siakan peluang kedua apabila tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan England di hadapan.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Baturina memanfaatkan kesilapan di bahagian pertahanan England untuk menyamakan kedudukan buat Croatia.
England kembali mendahului pada minit ke-42 apabila Kane menanduk masuk sepakan penjuru Declan Rice. Penyerang Bayern Munich itu tidak dikawal dalam kawasan penalti dan berjaya menewaskan Livakovic buat kali kedua.
Jaringan berkenaan menyaksikan Kane menyamai rekod Gary Lineker sebagai penjaring terbanyak England dalam sejarah pusingan akhir Piala Dunia dengan 10 gol.
Croatia sekali lagi memberikan tindak balas sebelum tamat separuh masa pertama apabila Musa menjaringkan gol penyamaan, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan dengan kedudukan terikat 2-2.
Bintang Real Madrid, Jude Bellingham menewaskan Livakovic bagi menjadikan kedudukan 3-2.
Sebelum pemain gantian Marcus Rashford akhirnya memastikan tiga mata menjadi milik England apabila menjaringkan gol keempat pada penghujung perlawanan.
Keputusan 4-2 itu memberikan England tiga mata dalam perlawanan pembukaan Kumpulan L, sekali gus menjadi permulaan positif dalam usaha mereka memburu kejuaraan dunia pertama sejak 1966.








