JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor memaklumkan proses pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah mencapai kira-kira 80 peratus, namun senarai penuh calon yang akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata senarai nama calon ketika ini masih dalam proses penelitian melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
Menurut Malaysia Gazette, pemilihan calon tidak tertumpu kepada faktor usia semata-mata, sebaliknya mengambil kira keupayaan seseorang untuk berkhidmat kepada rakyat serta tahap penerimaan pengundi.
“Kita ketengahkan gabungan calon yang boleh menang. Ada calon muda, ada calon lama, ada Melayu, Cina dan India. Itu semangat BN yang akan diteruskan,” katanya.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata demikian dalam temu bual bersama media Johor di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru, semalam.








