KUALA LUMPUR – Ketika spekulasi mengenai susunan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) semakin hangat, Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Datuk Abdullah Sani Abd. Hamid berpandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai tokoh paling layak menerajui negara bagi penggal kedua.
Beliau berkata, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri masih relevan terutama dalam suasana politik semasa yang semakin dinamik, termasuk selepas Pas mengambil keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Apabila Anwar mengambil alih pentadbiran negara, banyak pembaharuan diperkenalkan. Antara yang sering disebut ialah kejayaan menangani isu kemiskinan tegar dan memperkukuhkan semula keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang perlu dinilai secara objektif oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, setakat ini beliau tidak melihat tokoh lain yang mempunyai pengalaman, jaringan antarabangsa dan kredibiliti setanding Anwar untuk mengemudi negara dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar.
“Kita percaya rakyat cukup matang untuk membuat penilaian. Walau apa juga serangan politik dan fitnah yang dilemparkan, Perdana Menteri tetap meneruskan tugas beliau termasuk memperkukuh hubungan perdagangan serta kerjasama antarabangsa demi kepentingan negara.
“Akhirnya rakyat akan menentukan siapa yang paling layak untuk menerajui Malaysia. Pada pandangan saya, Anwar masih merupakan pilihan paling sesuai untuk meneruskan agenda pembangunan dan kestabilan negara selepas PRU-16,” katanya. – Malaysia Gazette








