SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim enggan mengulas mengenai video tular yang memaparkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menegurnya secara terbuka di sebuah masjid di Kuala Pilah, Jumaat lalu.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh bagaimanapun kelihatan tenang dan tersenyum ketika ditanya pemberita mengenai kejadian berkenaan.
“Saya okey saja. Tiada apa nak komen pun,” katanya ringkas selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pasukan Negeri Sembilan Antlers di sini, pada Ahad.
Terdahulu, rakaman video yang tersebar di media sosial memaparkan Tuanku Muhriz mempersoalkan hasrat Ismail untuk menghadap baginda.
“Kenapa dia mahu jumpa saya? Selagi dia tidak menarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, pergi,” titah baginda dengan nada tegas sebelum berpaling ke arah Ismail.
Dalam rakaman sama, Ismail dilihat memberikan respons dengan melakukan angkat sembah sebagai tanda hormat kepada baginda.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sebelum ini ditangguhkan, Ismail memaklumkan tarikh baharu persidangan masih kekal pada 26 November.
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang perubahan terhadap tarikh berkenaan selepas persidangan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober ditangguhkan.







