BESUT: Jabatan Penjara Malaysia kini berada pada peringkat akhir penggubalan peraturan dan syarat khusus bagi pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu susulan penerimaan surat daripada urus setia Lembaga Pengampunan yang memperincikan keputusan serta syarat berkaitan pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
Menurut Utusan, sebagai agensi yang bertanggungjawab melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan, Jabatan Penjara perlu menyediakan garis panduan khusus memandangkan mekanisme tahanan rumah belum pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Sekarang, proses penggubalan itu berada pada fasa akhir. Dalam surat urus setia Lembaga Pengampunan kepada Jabatan Penjara, dinyatakan bahawa Jabatan Penjara boleh menetapkan apa-apa syarat yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah MADANI di Felda Tenang, di sini, pada Ahad.
Mengulas status Najib, Saifuddin Nasution menjelaskan bekas Perdana Menteri itu masih menjalani hukuman di penjara berikutan bayaran RM50 juta seperti dinyatakan sebelum ini masih belum dijelaskan.
Katanya, tumpuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini, khususnya Jabatan Penjara, adalah memastikan semua peraturan dan syarat berkaitan disediakan dengan jelas sebagai panduan sekiranya pelaksanaan tahanan rumah dilaksanakan kelak.








