KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berpandangan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kekal dalam Perikatan Nasional (PN) merupakan langkah yang baik, praktikal dan bijaksana susulan perkembangan hubungan antara PAS dan parti itu.
Menurutnya, beliau telah menjangkakan perkembangan tersebut sejak minggu lalu dan pernah berusaha mendamaikan kedua-dua pihak, namun berpendapat perpisahan sementara mungkin dapat memberi ruang untuk meredakan keadaan.
Beliau mencadangkan agar PAS diberi laluan untuk menerajui kerajaan kerana menyifatkan parti itu sebagai parti terbesar di negara ini dan belum pernah memegang jawatan Perdana Menteri.
“Sebab itu dari dulu saya telah syorkan supaya pada kali ini beri laluan kepada PAS untuk jadi Perdana Menteri. PAS adalah parti terbesar di Malaysia kini dan mereka belum pernah jadi Perdana Menteri
Mereka juga adalah parti yang mempunyai rekod paling bersih dan paling kurang rasuah dan salahguna kuasa,” Katanya menerusi hantaran di facebook hari ini.
Isham turut berpandangan pemimpin parti-parti Melayu perlu mengetepikan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, terutama mereka yang berdepan kes mahkamah berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Menurutnya, sekiranya PAS menerajui kerajaan, usaha membanteras rasuah akan menjadi lebih realistik kerana parti-parti lain mempunyai hubungan dengan golongan taikun yang menurutnya menyukarkan usaha membasmi gejala tersebut.







