SEREMBAN – DAP Negeri Sembilan akan mengekalkan lebih separuh daripada penyandang sedia ada sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dalam usaha mempertahankan rekod memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya sejak 2013.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, senarai calon parti itu kini berada pada peringkat akhir dan akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Menurut Malaysia Kini, parti itu turut bercadang menampilkan beberapa muka baharu bagi mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu.
“Senarai calon akan diumumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada mereka membuat persiapan dan menyesuaikan diri dengan kawasan yang bakal ditandingi, khususnya calon baharu.
“Mana-mana wakil rakyat yang digantikan perlu membantu serta menyokong calon baharu bagi menjamin kemenangan dan mengekalkan kekuatan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Skrin Elektronik Lobak di Dataran Lobak, di sini, hari ini.
DAP Negeri Sembilan mencatat rekod memenangi semua kerusi yang ditandinginya sejak Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 dan kini berusaha mempertahankan pencapaian itu pada PRN kali ini.







