PUCHONG — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan krisis yang melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang menggusarkan dan berpotensi memberi kesan besar terhadap kestabilan serta keamanan negara.
Menurut Kosmo Beliau berkata, sebarang tindakan menggugurkan atau memansuhkan kedudukan seseorang raja perlu dilakukan mengikut saluran undang-undang dan perlembagaan yang sah.
“Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi raja ini mesti ada peraturannya, kaedahnya dan cara kemuliaannya.
“Menggugurkan atau memansuhkan mana-mana raja akan memberikan implikasi yang sangat besar bagi negara dan keamanan negara,” katanya pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, di sini, hari ini.
Anwar berkata, institusi raja mempunyai peraturan, kaedah dan kemuliaan tersendiri yang perlu dihormati serta dipelihara oleh semua pihak.
Pada masa sama, beliau menyifatkan tindakan membuat pengisytiharan berkaitan perkara itu di sebuah hotel sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan imej institusi diraja.
“Kita telah beri nasihat, tetapi diteruskan pengisytiharan di sebuah hotel yang saya fikir menjejaskan juga imej dan identiti raja di mata rakyat,” katanya.
Menurut beliau, walaupun Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung dalam isu berkenaan, kerajaan akan terus mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan institusi raja.








