SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi akan dibubarkan secara rasmi hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di kediamannya semalam
Menurut beliau, pembubaran DUN dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dalam sesi menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti.
“Alhamdulillah malam ini jam 8.30 malam saya telah menghadap DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap dan Tuanku telah memperkenankan pembubaran DUN mulai esok 5 Jun 2026, hari Jumaat,” katanya.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan yang semakin hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.
Perbincangan mengenai kemungkinan pembubaran DUN semakin mendapat perhatian selepas pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri mengadakan mesyuarat khas di kediaman rasmi Menteri Besar pada Selasa lalu.
Semalam, BH melaporkan Negeri Sembilan berkemungkinan berdepan krisis perlembagaan menjelang 10 Jun sekiranya sidang DUN tidak diadakan sebelum tarikh berkenaan.








