KUALA LUMPUR — DAP menangguhkan Persidangan Kebangsaan 2026 yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 12 Julai kepada 16 Ogos depan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut Bernama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti dalam mesyuarat yang diadakan malam tadi bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di kedua-dua negeri berkenaan.
“DAP juga akan mempertahankan semua kerusi penyandang di Johor dan Negeri Sembilan serta bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor, tertakluk kepada keputusan rundingan secara muktamad dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) menjelang hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anthony berkata, proses pemilihan calon yang akan mewakili DAP dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan pula akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon parti.
Menurutnya, jawatankuasa itu dianggotai beliau sendiri bersama Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming, Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching dan Ketua Parlimen DAP Chong Chieng Jen.








