JOHOR BAHRU — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan jentera Pakatan Harapan (PH) Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada malam esok.
Perkara itu dimaklumkan Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, majlis pelancaran berkenaan akan berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Cina, Batu Pahat pada jam 8 malam.
“Pelancaran jentera PRN PH Johor. ‘We are ready’ (Kami sudah bersedia),” katanya dalam hantaran itu.
Turut dijangka hadir ialah Timbalan Pengerusi PH yang juga Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook serta Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sebelum ini, PH Johor mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.
Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi DUN, diikuti PH dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.-Bernama








