PENAMPANG — Kerajaan Persekutuan menaikkan geran khas interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri dimuktamadkan.
Menurut Awani ,Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah tersebut hanya bersifat sementara kerana perbincangan mengenai jumlah sebenar pemberian berdasarkan tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih memerlukan rundingan lanjut antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Menurut beliau, isu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah perlu diselesaikan menerusi mekanisme yang dipersetujui kedua-dua pihak.
“Soal 40 peratus (hasil Sabah) walaupun dikatakan keadaan kewangan 112D (mekanisme semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan), bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji ini.
“Sama (ada) yang dibuat bulan Jun atau Disember, itu harus diputuskan dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan perundingan antara Persekutuan dan negeri,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di Penampang hari ini.








