AMANAH Selangor membidas kenyataan bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu Tian, yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim.
Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Azmi, berkata pihaknya memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Ronnie dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai melampau.
Menurutnya, Ronnie sepatutnya memahami bahawa isu penternakan babi di Selangor telah mendapat perhatian Sultan Selangor sehingga baginda menitahkan supaya segala aktiviti berkaitan penternakan babi di negeri itu dihentikan.
Abbas berkata, antara faktor yang mencetuskan perhatian serius terhadap isu berkenaan ialah masalah pencemaran yang melibatkan kepentingan awam serta penularan wabak African Swine Fever (ASF).
“Titah Tuanku berkenaan isu ini amat bertepatan dengan masa dan keadaan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Ronnie sebagai tidak beretika kerana seolah-olah tidak memahami konsep Rukun Negara serta sistem pentadbiran negara dan negeri yang diamalkan di Selangor.
Menurut Abbas, Ronnie pernah berkhidmat sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ketika masih menjadi pemimpin DAP, namun nada kenyataannya kini dilihat berubah selepas tidak lagi memegang jawatan dalam parti itu.
“Setelah tidak lagi menjadi pimpinan dan ahli parti DAP, nada sudah berubah seolah-olah tidak pernah terlibat dengan kerajaan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut Ronnie menarik balik tuduhan yang dibuat dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.








