IPOH — Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee mempersoalkan tindakan Menteri Besar Perlis yang didakwa menembak seekor lembu korban, dengan menyifatkannya sebagai perbuatan yang boleh mencederakan nilai ibadah serta aspek ihsan terhadap haiwan.
Menerusi hantaran di Facebook, Howard turut mempersoalkan di mana peranan pasukan terlatih, peralatan kawalan serta prosedur keselamatan dalam pengendalian haiwan korban berkenaan.
Beliau turut menimbulkan persoalan sama ada semua prosedur operasi standard (SOP) pengendalian haiwan telah dipatuhi sebelum tindakan menembak dilakukan.
“Ihsan kepada haiwan adalah sebahagian daripada tuntutan. Adakah semua SOP pengendalian haiwan diikuti sebelum tindakan menembak diambil?” menurut hantaran itu.
Dalam hantaran sama, beliau turut mempersoalkan tindakan tersebut yang menurutnya melibatkan haiwan korban yang sepatutnya dilayan dengan penuh ihsan.
“Mengapa haiwan korban yang sepatutnya dilayan dengan ihsan disakiti dengan tembakan?” soalnya.
Howard turut mempersoalkan kewajaran tindakan itu untuk dicontohi oleh pemimpin dalam sebuah majlis ibadah, seperti yang dinyatakan dalam hantaran berkenaan.








