Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata beliau berkemungkinan didakwa di mahkamah dalam tempoh beberapa minggu akan datang berhubung siasatan berkaitan kes Rukun Negara.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Pua berkata beliau menerima mesej daripada Bukit Aman pada Khamis lalu yang memintanya hadir bagi sesi soal siasat tambahan.
Menurutnya, pertemuan itu berlangsung pagi ini di Bukit Aman bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo.
Katanya, pihak polis memaklumkan bahawa kertas siasatan sebelum ini telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), namun dikembalikan semula kepada Bukit Aman bagi mendapatkan beberapa keterangan tambahan.
Pua berkata soalan tambahan yang dikemukakan kebanyakannya berkaitan definisi perkataan “decree” yang digunakan dalam hantaran Facebooknya.
“Saya menjawab bahawa maksud hantaran itu adalah seperti yang saya tulis, namun saya bersedia memberikan penjelasan tambahan sekiranya diperlukan di mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, Pua berkata terdapat satu perbezaan penting berbanding rakaman percakapannya sebelum ini. Katanya, dalam sesi terdahulu beliau direkodkan sebagai saksi, manakala bagi rakaman terbaru itu beliau kini diklasifikasikan sebagai suspek.
“Jadi nampaknya imbangan kebarangkalian telah berubah, di mana saya berkemungkinan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya.
Menurut Pua, beliau kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan pihak pendakwaan juga boleh memutuskan untuk mendakwanya di bawah Akta Hasutan.
Pua berkata beliau bersedia mempertahankan dirinya di mahkamah serta mempertahankan semangat Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
“ Saya bersedia mempertahankan diri dan yang paling penting mempertahankan semangat Rukun Negara dan Kesucian Perlembagaan Persekutuan,”Katanya








