Kerajaan Madani memberi jaminan bahawa tiada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) atau sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) akan ditutup di bawah pentadbirannya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata pendirian itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan semua aliran sekolah terus dipelihara sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.
Menurut Bernama, kerajaan memahami kebimbangan yang sering disuarakan masyarakat, khususnya komuniti Cina dan India, mengenai masa depan sekolah vernakular, termasuk isu kekurangan murid serta cabaran berkaitan tapak sekolah.
“Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkali-kali, sama ada di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen, menegaskan sekolah vernakular adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kita yang penting.
“Komitmen Kerajaan Madani adalah untuk menjamin tiada mana-mana sekolah, sama ada SJKC ataupun SJKT akan ditutup. Kita mengekalkan semua sekolah yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan Baharu SJKT Rajaji di George Town hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang, S Sundarajoo.
Wong berkata jaminan tersebut selaras dengan komitmen kerajaan untuk terus memelihara sekolah vernakular sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.








