KUALA LUMPUR — Sebarang langkah untuk melaksanakan pelarasan subsidi petrol RON95 akan menjadi pilihan terakhir kerajaan berikutan kesan langsung terhadap perbelanjaan isi rumah, kata penasihat kanan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.
Beliau berkata kerajaan ketika ini mempunyai beberapa pilihan dasar, namun mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan sensitiviti harga bahan api serta tekanan kos sara hidup yang lebih meluas.
Nurhisham berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan, yang disiarkan di YouTube semalam.
Mengulas isu kekurangan bekalan bahan api susulan ketidaktentuan pasaran minyak global akibat konflik di laluan perkapalan Selat Hormuz, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengurangkan kuota bahan api bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
Menurutnya, langkah itu hanya menjejaskan kira-kira 10 peratus pengguna di negara ini.
“Kira-kira 90 peratus pengguna bahan api di Malaysia tidak terkesan dengan kuota 200 liter RON95 itu,” katanya.








