KUALA LUMPUR — PAS menggesa kerajaan memberi penjelasan segera berhubung cadangan syarat pemilikan Bumiputera sebanyak 50 peratus bagi transaksi hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas, bagi mengelakkan kekeliruan pasaran serta potensi kerugian jangka panjang.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mengambil maklum mengenai laporan dan perbincangan awam berkaitan cadangan tersebut, khususnya melibatkan aset milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Menurut beliau, berdasarkan penjelasan Kementerian Ekonomi, dasar itu bertujuan memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset strategik selain menyelaras pelupusan aset penting negara dengan objektif sosioekonomi yang lebih luas.
Katanya, kerajaan turut memberi bayangan bahawa syarat baharu itu hanya melibatkan transaksi bernilai tinggi tertentu dengan pengecualian bagi pelaburan berkait sektor industri dan pembuatan yang diluluskan.
“PAS akur bahawa usaha untuk memperkukuh penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam ekonomi adalah selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta cita-cita pembangunan seimbang negara.
“Namun, dasar melibatkan aset bernilai tinggi dengan kesan langsung ke atas pasaran modal, institusi kewangan dan dana awam tidak seharusnya ditangani secara tidak jelas atau terdedah kepada tafsiran bercanggah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan komprehensif mengenai beberapa isu penting termasuk sama ada syarat pemilikan 50 peratus itu merupakan dasar tetap Kerajaan Persekutuan Malaysia atau dilaksanakan secara terpilih mengikut kes.








